Khamis, 13 September 2012

Hukum dan Fadhilat Korban


HUKUM KORBAN

Hukum berkorban adalah sunnah muakkadah.


Sebahagian ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa berkorban hukumnya wajib bagi orang yang mencukupi nasab zakat. Antara rujukan mereka adalah hadis yang bermaksud:

"Barangsiapa berkelebihan (dalam harta) tetapi tidak meyembelih haiwan korban, janganlah dia mendekati masjidku." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

MEMAKAN DAGING KORBAN

Daging korban wajib, contohnya seperti korban nazar adalah haram dimakan oleh orang yang berkorban. Daging korban sunat pula, contohnya seperti korban Eidul Adha adalah sunat dimakan oleh orang yang berkorban sekadar untuk sekali makan, selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah. Diutamakan fakir miskin daripada keluarga, kemudian fakir miskin yang menjadi jiran tetangga.

Jantung hati ternakan korban sunat dimakan, kerana menurut hadis riwayat Al-Baihaqi :

"Rasulullah s.a.w memakan hati korbannya."

Allah swt juga menyuruh orang yang berkorban memakan sedikit daripadanya, sebagaimana firman Allah swt surah Al-Haj 28 yang bermaksud :

"Maka makanlah olehmu sebahagian daripadanya dan sebahagian lagi berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir."

Daging dan kulit haiwan korban dilarang diperjualbelikan, kerana menurut hadis riwayat Al-Hakim yang disahihkannya, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang menjual kulit korbannya maka tidak ada korban baginya."

Demikian pula tidak boleh memberikannya kepada penyembelih sebagai upah. Kulit ternakan korban halal dimanfaatkan oleh yang empunya, seperti membuat bekas air dan sebagainya.

FADHILAT KORBAN

Keistimewaan orang yang berkorban banyak sekali. Saidina Ali bin Abi Talib r.a telah meriwayatkan bahawa sesiapa yang meninggalkan rumahnya dengan maksud membeli haiwan korban, maka setiap langkah dikurniakan 10 kebajikan, dihapuskan 10 kesalahan, dinaikkan martabatnya 10 darjat.


• Apabila dia bercakap-cakap dengan penjual ketika membelinya, maka setiap patah kata yang diucapkannya itu adalah sama dengan satu tasbih. Dan jika dibayar harganya, maka setiap satu dirham, dia beroleh 700 kebajikan. Jika haiwan itu dibaringkan di atas tanah, maka setiap titis darah yang tertumpah, dijadikan oleh Allah 10 Malaikat yang mendoakan dan meminta ampunkan kesalahannya kepada Allah sampai hari kiamat.

• Apabila dagingnya dibahagi-bahagikan, maka setiap suap yang dimakan orang, baginya adalah seperti memerdekakan seorang anak cucu Nabi Ismail a.s. Haiwan yang dikorbankan itu kelak akan menjadi kenderaan bagi orang yang mengorbankannya pada hari kiamat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :

"Muliakanlah korban-korbanmu, kerana nanti dia menjadi kenderaan kamu ketika melalui titian Siratal Mustaqim."

• Selain daripada itu orang-orang yang melaksanakan ibadah korban dipandang sebagai orang yang baik di antara umat Nabi Muhammad s.a.w, sesuai dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w :

"Umatku yang baik ialah mereka yang berkorban dan umatku yang jahat ialah mereka yang tidak berkorban."

• Korban juga dapat menyelamatkan orang yang berkorban dari kejahatan dunia dan akhirat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :

"Bukankah korban itu termasuk ibadah yang menyelamatkan orang, yakni menyelamatkan orang yang empunyanya daripada kejahatan dunia dan akhirat."

ORANG-ORANG YANG DIANJURKAN BERKORBAN

Golongan yang dianjurkan atau diperintahkan untuk melaksanakan ibadah korban ialah :

• Orang Islam

• Merdeka

• Baligh (Dewasa)

• Berakal - berdasarkan ini, korban tidak diperintahkan kepada orang kafir, hamba sahaya, anak-anak dan orang gila.

• Mampu - apa yang dimaksudkan dengan mampu ialah :

Orang yang mempunyai kelebihan belanja dan keperluan hidup diri dan tanggungannya seisi keluarga pada hari Eidul Adha dan tiga hari sesudahnya, iaitu hari Tasyrik, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Orang yang mampu makruh meninggalkan ibadah korban, kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang bermaksud :

"Sesiapa yang mempunyai kelapangan tetapi tidak berkorban, maka hendaklah dia mati dalam keadaan mati Yahudi atau mati Nasrani, jika dia mahu."

Hadis lain pula menyatakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:

"Sesiapa yang mempunyai kelapangan, tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami."

Sunat hukumnya berniat untuk melaksanakan ibadah korban bagi orang yang berkorban pada tanggal 10 Zulhijjah, tidak membuang rambut atau bulu-bulu yang ada di tubuhnya, seperti berpangkas, mencukur misai atau janggut, memotong kuku dan sebagainya, hingga haiwan korbannya selesai disembelih.

Ummu Salamah menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :

"Apabila kamu melihat awal bulan Zulhijjah, dan salah seorang di antara kamu bermaksud akan berkorban, maka hendaklah ia menahan rambut dan kuku-kukunya."